Sinopsis Filem Volkswagen Kuning Dan Kisah Misteri Disebaliknya | Esok 22 September adalah hari pertama tayangan filem seram berjudul Volkswagen Kuning . Filem terbitan David Teo ini menampilkan Pekin Ibrahim dan Atikah Suhaimie sebagai pelakon utama dan dibantu oleh pelakon-pelakon hebat lainnya .
Filem Volkswagen Kuning dihasilkan berinspirasikan kisah seram Volkswagen kuning yang sering muncul di lebuhraya Karak dan juga Ipoh . Setiap pemandu yang bersimpang dengan wolkswagen kuning ini pasti perasan bahawa kereta itu sebenarnya tiada pemandu . Pun begitu , kereta itu tidak pernah mengganggu pemandu lain . Yang pasti , kereta yang kemalangan disebabkan wolkwagen kuning ni adalah kerana pemandunya yang mengalami ketakutan yang tidak dapat dikawal .
Kisah Volkswagen Kuning
Berikut adalah pengalaman mereka yang pernah terjumpa Volkswagen kuning di lebuhraya Karak dan juga Ipoh malah ada juga yang mengatakan kisah seperti wolkswagen kuning ini juga wujud di lebuhraya Pagoh .
Volkswagen Lebuhraya Ipoh
Menurut cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut , Volkswagen kuning , ia milik seorang hartawan, yang tinggal di sekitar Ipoh beberapa puluh tahun dahulu. Bagaimanapun, hartawan itu terbunuh selepas kereta tersebut terbabas lalu terjunam ke dalam gaung. Sejak itulah kereta Volkswagen Kuning sering menjelma di kawasan berkenaan.
Kata Roslan, pukul 11.30 malam awal tahun 2000, dia memandu kereta Kancilnya mendaki Bukit Meru, Jelapang, Perak. Ketika itu dia dalam perjalanan dari rumahnya di Ipoh menuju ke rumah mentua di Kuala Kangsar.
Di pertengahan bukit, Roslan dapati ada sebuah kereta di belakangnya. Kereta itu begitu laju, lampunya terang menyuluh jalan. Anehnya, ia tidak memotong, sebaliknya hanya bersaing saja dengan kereta Roslan.
"Saya mula bengang. Saya cakap, kalau nak potong, potonglah. Jangan nak main-main," cerita Roslan kepada saya.
Oleh kerana kereta itu masih juga tidak memintasnya, Roslan menoleh ke arah kereta tersebut. Hanya sebuah Volkswagen Kuning yang sudah buruk. Roslan melihat pula pemandunya. Dia terperanjat. Kosong. Kereta itu bergerak tanpa pemandu!
"Ketika itu saya terus teringat cerita orang tentang kereta Volkswagen Kuning di Bukit Meru," kata Roslan.
Setelah 10 saat bersaing, akhirnya kereta kuning itu beransur-ansur perlahan dan ditinggalkan jauh. Roslan terus memandu sampailah ke penghujung terowong Bukit Meru yang sepanjang satu kilometer.
Alangkah terkejutnya Roslan, sewaktu menuruni bukit, tiba-tiba dia melihat kereta Volkswagen kuning itu sudah berada di hadapannya. Roslan terus memotong, kali ini dia tidak berani melihat pemandunya.
"Sewaktu berada hampir di penghujung bukit, sekali lagi saya terperanjat sebab kereta itu muncul lagi buat kali ketiga di hadapan saya. Saya terus potong. Memang seram
kalau saya panik, memang terbabas dan masuk ke dalam gaung. Lepas kejadian itu barulah saya percaya cerita-cerita orang tentang misteri Volkswagen Kuning di Bukit Meru," kata Roslan.
Volkswagen versi Karak
Berbalik kepada kisah misteri Volkswagen Kuning, saya sebenarnya berasa pelik apabila kemudiannya mendapat tahu, jelmaan kereta tersebut juga dilihat di Lebuh Raya Karak. Para pengguna lebuh raya tersebut yang berulang alik ke Pantai Timur cukup maklum dengan cerita tersebut.
Kononnya kereta itu sering muncul di terowong Genting Sempah. Sama sepeti yang dialami oleh Roslan di Bukit Meru, kereta itu menjelma secara tiba-tiba dan ghaib juga secara tiba-tiba selepas menunjukkan diri kepada mangsanya.
Ini menimbulkan persoalan, versi manakah yang benar? Adakah kisah tersebut bermula di Perak, kemudian diciplak lalu dibawa ke Lebuh Raya Karak? Atau, ia sebenarnya berasal dari Karak, tetapi kemudian versi itu dikembangkan ke Perak? Atau memang ia secara kebetulan berlaku di kedua-dua tempat?
Kisah Volkswagen Kuning ini hanyalah satu daripada sekian banyak cerita misteri yang berlegar di sepanjang Lebuh Raya Karak. Antara cerita yang paling popular ialah, kononnya di situ pernah berlaku seorang lelaki dimakan oleh 'sesuatu' di atas bumbung keretanya. Kejadian itu disaksikan sendiri oleh isteri lelaki tersebut.
Apabila kisah misteri wolkswagen kuning dijadikan sebuah filem , sudah tentu garapan dan jalan ceritanya penuh dengan suspen dan adegan yang mendebarkan . Bukan sekadar pelakon yang menjiwai watak malah kesan khas juga sangat membantu bagi menghasilkan filem seram yang benar-benar membuatkan penonton sentap dan kerap terkejut serta menjerit .
Sinopsis Volkswagen Kuning
Filem 'Volkswagen Kuning' ini mengisahkan sepasang kekasih yang telah bertunang, Fuad dan Sarah, yang dalam perjalanan untuk pulang ke kampung Fuad. Mereka mengalami gangguan apabila tersesat selepas senja semasa mencari kedai makan. Gangguan itu menyebabkan mereka mengalami kemalangan dan Sarah mula berubah. Semuanya gara-gara Volkswagen kuning!
Fuad ditahan di wad, manakala Sarah langsung tidak mengalami kecederaan. Raudhah, kakak Sarah, datang untuk menjemput Sarah pulang ke bandar, sementara menunggu Fuad pulih dari kecederaan. Tanpa diduga, Sarah membawa pulang ‘sesuatu’ bersamanya.
Bagi anda yang mahu merasai sendiri pengalaman wolkswagen kuning , jangan lupa serbu pawagam berdekatan beramai-ramai untuk menyaksikan filem Volkswagen kuning pada 22 September ya .